page

Wednesday, January 12, 2011

Bimbingan & Panduan





Mencari Tuhan

Dia diutuskan tika manusia dalam kejahilan 
Membawa firman Tuhan sebagai petunjuk kehidupan 
Diberikan mukjizat sebagai tanda kenabian 
Agar teguh bersemi segala keyakinan 


Namun... 

Mengapa dia masih menyelusuri jalan kelam? 
Sedang Dia memberi wahyu sebagai pedoman 
Mengapa kita masih mencari Tuhan dalam kealpaan? 
Sedang Dia memberi hidayah sebagai panduan 



Ingatlah tatkala Dia berfirman: 

”...Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu 



agamamu 
Dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepadamu 
Dan Aku reda Islam itu menjadi agamamu...” 






Taruma anak mangsa cerai

Sedih, geram, tertekan dan kecewa. Inilah antara emosi yang tidak menentu yang sering menyelubungi suami atau isteri yang terpaksa menghadapi perceraian. Kadang-kala iman yang rapuh boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan hidup hingga terlupa bahawa anak-anak kini lebih memerlukan perhatian. Pastikan mereka tidak tersisih dan terabai dalam kedukaan sehingga menjadi ‘mangsa’ keadaan. Oleh itu, anda harus bijak berdepan dengan masalah ini dan mampu memberi penjelasan dan menjawab sebarang pertanyaan atau kekeliruan mereka dengan baik. Biarpun anda dan bekas pasangan sudah tidak sehaluan, bagaimana untuk pastikan anak-anak tidak menyimpan dendam, buruk sangka terhadap ibu atau bapa mereka?


Menurut pakar motivasi pelajar, MAP Training and Consultancy ,Dr. Tg Asmadi Tg.Mohamad,pada kebiasaannya anak-anak yang telah melalui proses perceraian akan mengalami tekanan dan gangguan emosi. “Sejauh mana kesan psikologi terhadap diri anak-anak akibat perceraian bergantung kepada situasi bagaimana proses perceraian itu berlaku, hubungan antara ibu bapa selepas perceraian, sokongan daripada kaum keluarga , usia anak sewaktu berlaku perceraian serta reaksi daripada kawan-kawan sebaya dan sebagainya,” ujarnya.


Kesan psikologi kepada anak-anak
“Anak-anak yang sering kali mendengar ibu bapa mereka bergaduh berbulan-bulan malah bertahun tahun sebelum berlakunya perceraian akan lebih tertekan dan terjejas emosinya berbanding dengan perceraian yang berlaku secara baik. Apa lagi jika wujudnya kes pukul dan dera terhadap pasangan hingga menimbulkan rasa kasihan dan pilu di hati anak dan ini mewujudkan perasaan dendam di dalam diri mereka. Ada ketikanya perasaan marah, dendam dan memberontak ini diluahkan dalam bentuk protes dengan melibatkan diri dalam masalah sosial. Bagi anak-anak , mereka mahu mengajar ibu bapa itulah kesannya apabila diri mereka tidak dipedulikan,” jelas Dr Tg.Asmadi yang berpengalaman menghadapi kes situasi anak-anak mangsa perceraian.



Menurutnya lagi anak-anak juga mungkin terdedah kepada pelbagai contoh yang tidak elok daripada ibu bapa yang melalui proses perceraian seperti mencerca, mengherdik, mencaci maki dan sebagainya yang boleh membuatkan anak-anak merasa cemas dan takut. Mereka cenderung mengalami kemurungan hingga mengganggu tumpuan belajar. Estim diri turut terjejas dan mereka untuk tidak bergaul kerana mengelak daripada ditanya mengenai masalah ibu bapa. Prestasi akademik juga turut merosot dan jika tidak dibantu akan membawa kepada kegagalan dan kemerosotan pelajaran kerana tiada ketenangan ketika berada di rumah. Rasa cemburu juga timbul apabila melihat rakan-rakan lain mempunyai ibu bapa yang bahagia.

“Tekanan dan trauma ini berterusan apabila ibu bapa berebut soal penjagaan anak dan sikap saling menyalahkan di antara mereka. Proses tuntutan hak di mahkamah juga membuatkan ibu bapa hilang tumpuan terhadap anak-anak dan ini bakal memburukkan lagi keadaan,” jelas Dr.Tg Asmadi lagi.

Tanda-tanda anak-anak mengalami trauma dan gangguan emosi :

- Proses perkembangan fizikal terjejas misalnya ketinggian dan berat badan terencat dan tidak seiring dengan usia mereka.



- Kelihatan murung, hilang selera makan, mudah marah, menyendiri dan melakukan sesuatu di luar kebiasaan dan sebagainya.

- Tidur yang sering terganggu hingga sukar melelapkan mata. Malah ada yang terpaksa mengambil ubat tidur.

- Pencapaian akademik di sekolah yang makin merosot.

- Masalah disiplin di sekolah kerana anak-anak ini menunjuk protes di sekolah atau dalam pergaulan.

- Mereka sukar dikawal dan dinasihati kerana mereka meletakkan kesalahan itu kepada ibu bapa dan merasakan tindakan mereka itu adalah wajar.

- Lebih berdiam diri kerana mereka sendiri dalam dilema siapa yang harus disalahkan, siapa yang patut disayangi, ibu atau bapa?

- Keliru dan merasakan ibu bapa lebih pentingkan hal masing-masing dan tidak peduli dan sayang kepada mereka lagi. 


1 comment:

  1. perlu siap sedia untuk tempuhi alam rumahtangga..bukan mudah, perlu ada komitmen dan usaha mendekat diri kepadaNYA..hanya iman yang kuat boleh menambah kebahaian dan kerukunan sesebuah rumah tangga.

    ReplyDelete