Sempena tahun baru ini, TV9 akan menghidangkan sebuah drama bersiri menarik iaitu 6 Progresif yang bakal menemui penonton bermula 13 Januari ini pada setiap Khamis jam 8.30 malam. Drama yang berkisarkan tentang kisah kehidupan beberapa pelajar sekolah ini diarahkan oleh Fairuz Loy dan dibarisi oleh pelakon remaja yang masih segar dalam bidang seni iaitu Zahiril Adzim, Nas-T, Hanis Kamal, Nabila Dally dan Faralyna Idris.
Mesej-mesej positif dan pengajaran juga turut diselitkan dalam drama 14 episod ini khususnya penekanan terhadap kepentingan disiplin, sikap positif dan kebenaran yang akan sentiasa menjamin kejayaan seseorang di alam persekolahan. Apatah lagi dalam usia muda remaja, pelbagai perubahan emosi dan fizikal akan berlaku dalam proses kematangan ke arah dunia kedewasaan. Peranan guru-guru juga amat penting dalam membentuk pelajar, mengetahui keperibadian mereka dan menjadi contoh yang terbaik kepada setiap pelajar.
Drama yang akan disiarkan di dalam slot Aurora di TV9 ini mengisahkan tentang perjalanan para pelajar di SMK Sungai Terok terutamanya kelas 6 Progresif. Seorang Budak Baru telah dihantar oleh bapanya ke sekolah tersebut setelah dibuang sekolah atas salah faham bahawa dia telah meniru semasa peperiksaan. Di SMK Sungai Terok, Budak Baru (Hanis Kamal) telah ditempatkan di dalam kelas 6 Bestari, kelas aliran Sains yang terbaik di sekolah itu oleh Cikgu Ahmad, lalu dia berkenalan dengan Nik Adli (Zahiril Adzim), Dahlia (Faralyna Idris), Lily (Nabila Dally) dan Kecoh (Nas-T).
Lily merupakan seorang pengawas sekolah dan Kecoh adalah Ketua pengawas sekolah dari kelas 6 Bestari. Nik pula merupakan ketua kelas 6 Progresif dan Dahlia juga seorang pelajar dari kelas 6 Progresif. Pengetua SMK Sg Terok (Khatijah Tan) dan guru disiplin sekolah tersebut, Cikgu Ahmad (Zaibo), ingin membuat pembaharuan dan mengarahkan Kecoh memberi jawatan ketua kelas kepada Budak Baru dan ini telah membuatkan Kecoh tidak berpuas hati. Kecoh memberi rekod disiplin Budak Baru kepada Cikgu Ahmad yang terpaksa membuat keputusan untuk menukarkan Budak Baru dari kelas 6 Bestari ke kelas 6 Progresif.
Kelas 6 Progresif adalah sebuah kelas yang penuh dengan pelajar-pelajar ‘reject’ dan untuk aliran kemanusiaan. Pergolakan berlaku apabila Budak Baru dilantik secara rasmi untuk menjadi penolong tingkatan 6 Progresif ekoran pertolongan Nik menyelamatkan Budak Baru dari geng rempit dan geng sideburn. Budak Baru melalui hari-hari di SMK Sungai Terok dengan pelbagai konflik yang amat menguji kesabarannya.
Konflik demi konflik terus berlaku di 6 Progresif dan kekecohan berlaku pada minggu ko-kurikulum di antara Nik dan Kecoh kerana berebutkan Budak Baru untuk menyertai kelab masing-masing. Pada masa yang sama, Lily pula mencuba sedaya upaya untuk menggoda Budak Baru setelah mengetahui rekod baik dan latar belakang Budak Baru.
Melangkah masuk ke sekolah baru bukanlah sentiasa mudah kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan lama dan sekaligus mengenali pelajar-pelajar baru dengan suasana dan persekitaran yang amat berbeza sekali. Persediaan mental merupakan persediaan yang paling penting ketika melangkah ke sekolah baru. Perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru, inginkan kebebasan dan pemberontakan pasti terngiang-ngiang di kepala mereka.
Untuk menyaksikan kisah selanjut Budak Baru yang ingin mencari identiti dan menyesuaikan dirinya di sekolah baru, jangan ketinggalan untuk menyaksikan 6 Progresif yang akan bersiaran pada setiap Khamis jam 8.30 malam bermula pada 13 Januari ini, hanya di TV9, saluran Di Hatiku!
Sumber dari:Gua.com.my
No comments:
Post a Comment