Air mata ibarat butiran mutiara yang sangat cantik. Namun kecantikan itu hanya terjelma dari sebuah kesedihan dan keluluhan hati. Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh ironi.
Air mata ibarat embun yang menitis, sungguh menyegarkan. Namun kesegaran itu hanya terjelma setelah melalui malam panjang yang dingin dan gelita. Sungguh ironi.
Air mata ibarat hujan yang merenyai, sungguh menyejukkan. Namun kesejukkan itu hanya terjelma setelah mendung yang menduga. Sungguh ironi.
Namun, disebalik semua ironi ini, apakah nilai sebenar sebuah tangisan?
Percayakah jika aku katakan hatiku adalah sangat keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air betubi-tubi lama-lama akan terbelah jua ianya. Namun hatiku sungguh keras. Kali terakhir air mata membelai pipi kira-kira 8-9 tahun yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang kesan dihati. Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup. Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan, tetapi hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran Allah dalam Al-Quran, tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul. Hati ini tidak pernah merasa apa itu cinta sebenar kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah dan Rasul. Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak meninggalkan parut di hati.
“Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapar azab yang amat berat” ( Al-Baqarah: Ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa Kasih dan Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah membalutinya. ‘Cirrhosis’ jika mengikut istilah perubatan. Hati yang telah keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain. Selayaknya menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat Firman Allah
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta” ( Al – Baqarah : Ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan musibah untuk diriku sebagai ujian penuh hikmah. Tatkala mencari ruang untuk mencari kekuatan, Air Mata lah yang menjadi suri peneman hidup. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat merasakan kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ibarat terpenjara dalam satu sangkar emosi yang dikurung rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan sendirian, air mata mahu berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di tengah jalan di tengah orang ramai. Saat berkurung dibilik, air mata berjurai laju. Saat kekelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak bias ternampak oleh rakan-rakan. Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang keras dan kalis tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah sehingga hati yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang kian suram, menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang tak mampu kufaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi kegembiran yang berlalu depan mata, tapi aku tidak mampu merasainya.
Namun, tangisan ku hanya semata-mata untuk dunia. Menangisi dunia yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa, bahawa Allah menginginkan dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari, aku meluahkan apa yg terbuku dihati pada seorang sahabat. Dia bertanya padaku, “Untuk apakah dan siapakah tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan Allah?” Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah pertanyaan “ Untuk siapa kau rasa?” dan berlalu pergi tanpa menunggu sebuah jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu peristiwa dipagi hari, saat tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di sepertiga malam, terdengar sendu tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud menghadap Ilahi. Hati turut menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya mengapa dia menangis? Aku bertanya padanya selepas itu “ Mengapakah kau menangis?”. Jawabnya, “ Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan Allah, maka aku menangis”.
Mendengarkan jawapan tersebut aku terpana. Aku tertanya, jika tangisnya untuk Allah, tangisku untuk siapakah? Baru kusedar, tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai.
Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, “ Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?” Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.
Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.
Betapa besar nilai sebuah tangisan yang belum kita faham. Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik ujian yang sangat berat yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang telah keras. Hati yang perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun, Allah tidak membiarkanku lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan seorang sahabat setia untuk mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar padanya. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hamba-Nya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.
Maka, tanyalah kembali diri kita, kemana telah tumpahnya air mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang menggunung sedangkan amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati bila putus cinta? Kiralah betapa banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta disayangi. Kiralah berapa banyak air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga tersayang yang telah pergi. Kiralah berapa banyak air mata yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan tumpah kerana cinta dan kasih hanya kepada-Nya.
Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya pada-Nya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.
Dicelah-celah kegersangan hati dan sukma, basahkan ia dengan tangisan menghadap Ilahi. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar tumpah air mata di medan perjuangan ini, bukan kerana Sedih dan Putus asa, tetapi kerana Kasih dan Cinta. Kerana nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu besarnya seperti darah syuhada’ yang mengalir dan dakwat para ilmuan yang. Tangisan yang lahir dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Ya Allah anugerahkanlah aku sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada tangisan menghadap-Nya.
Ujian daripada Allah tanda Allah menyayangi hambaNya
ReplyDelete